STAY CONNECTED  


 

PEGANGAN ICD DALAM PMB TIJARI DITINGKATKAN

 

Kuala Lumpur : Perbadanan Islam Pembangunan Sektor Swasta (ICD) meningkatkan kepentingan dalam PMB Tijari Sdn. Bhd. (PMB Tijari) kepada 33 peratus dalam usaha mengembangkan perniagaan pajakan syariahnya di negara ini. PMB Tijari merupakan sayap perniagaan perkhidmatan kewangan syariah yang diambil alih oleh Pelaburan MARA Berhad (PMB) pada Januari lalu yang dahulunya dikenali sebagai KFH Ijarah House (Malaysia) Sdn. Bhd. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMB, Nazim Rahman berkata, ketika PMB Tijari mula diambil alih awal tahun lalu, pegangan ICD ialah sebanyak 10 peratus.

 

 

“Peningkatan ekuiti ini mencerminkan keyakinan ICD terhadap kejayaan yang bakal dicapai melalui perkongsian selain pertumbuhan ekonomi Malaysia memandangakn kejayaan PMB Tijari sebagai sebuah syarikat perkhidmatan kewangan amat berkait rapat dengan pertumbuhan sektor swasta di Malaysia. Sokongan institusi yang ditawarkan oleh PMB dan ICD membolehkan PMB Tijari berkembang ke luar pasaran temapatan dan kami berharap dapat memanfaatkan sumber kedua-dua pihak untuk mencapai objektif ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

 


ICD yang berpengkalan di Jeddah, Arab Saudi merupakan sebahagian daripada Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IDB) yang menawarkan pelbagai produk kewangan berasaskan syariah kepada negara anggotanya. Institusi ini juga menawarkan pelbagai pembiayaan untuk memenuhi keperluan pelanggannya melalui langganan atau pembelian saham ataupun pembelian bon dalam projek atau syarikat berdaya saing dan berpotensi dalam negara anggota. Terdahulu PMB dan ICD menandatangani perjanjian pemegang saham bagi PMB Tijari pada akhir Mesyuarat Tahunan Lembaga Pengelola Kumpulan IDB di Jeddah baru-baru ini. Pada upacara menandatangani perjanjian itu, ICD diketuai oleh pegawai eksekutifnya, Khaled Al-Aboodi.