STAY CONNECTED  


 

ICD TINGKAT EKUITI DALAM PMB TIJARI

 

Perbadanan Islam bagi Pembagunan Sektor Swasta (ICD) meningkatkan kepentingan ekuiti dalam PMB Tijari Sdn Bhd, cabang perkhidmatan kewangan Pelaburan MARA Bhd (PMB), kepada 33 peratus. Ia dalam usaha perbadanan berkenaan memperluaskan usaha niaganya dengan menceburi perniagaan pajakan berlandaskan syariah di Malaysia. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMB, Nazim Rahman, berkata pertambahan ekuiti itu mencerminkan keyakinan ICD terhadap potensi perkongsian dan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Ia juga mengambil kira kejayaan PMB Tijari sebagai syarikat perkhidmatan kewangan yang amat berkait rapat dengan pertumbuhan sektor swasta di Malaysia.

 


“Sokongan institusi yang ditawarkan oleh PMB dan ICD akan membolehkan PMB Tijari berkembang ke luar pasaran tempatan dan kami berharap ia dapat memanfaatkan sumber kedua-dua pihak untuk mencapai objektif ini,” katanya dalam satu keyataan, semalam. Semasa PMB membeli PMB Tijari pada Januari (tahun ini), kepentingan ICD hanyalah 10 peratus. Cabang perkhidmatan kewangan jenama baharu PBM itu dahulunya dikenali sebagai KFH Ijarah House (Malaysia) Sdn. Bhd. 
ICD ialah sebuah pertubuhan pelbagai hala dan sebahagian daripada IDB, manakala PMB ialah sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan aset milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

 


PMB dan ICD memeterai perjanjian pemegang saham pada Mesyuarat Tahunan Lembaga Pengelola IDB Group di Jeddah, Khamis minggu lalu. ICD diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khaled Al-Aboodi. Khaled sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia adalah rakan kongsi utama dan ICD berharap dapat meningkatkan kerjasama dengan kedua-dua pihak kerajaan swasta.

 


Beliau berkata, selain pelaburan ekuiti langsung yang dibuat dalam syarikat usaha sama, ICD juga akan membawa ahli gabungannya, rakan teknikal pajakan global berpangkalan di Bahrain, Ijarah Management Company (IMC), untuk memberi bantuan teknikal dan alat yang diperlukan bagi PMB Tijari. Selain Malaysia, IMC yang ditubuhkan pada 2011, mengendalikan lebih tujuh syarikat pajakan di dunia, termasuk di Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS), Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) dan negara Afrika Barat.

 


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, syarikat itu mempunyai perkhususan dalam sektor komersial perkhidmatan kewangan Islam, merangkumi penyelesaian kewangan patuh syariah seperti pajakan, pembiayaan perniagaan dan pembiayaan kenderaan.
“PMB Tijari serba baharu ini sedia menawarkan perkhidmatan pembiayaan patuh syariah paling berdaya saing dan inovatif dalam industri,” katanya.